Sinner tempah final Terbuka Perancis, sedia berdepan Alcaraz
PARIS – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner menyifatkan pertemuan dengan Carlos Alcaraz di final Terbuka Perancis sebagai “tiada yang lebih besar” selepas menyingkirkan juara bertahan, Novak Djokovic di peringkat separuh akhir.
Sinner menewaskan pemain Serbia itu 6-4, 7-5, 7-6 (7/3) dalam aksi straight set untuk mara ke final pertamanya di Roland Garros sekali gus menafikan hasrat Djokovic memburu gelaran Grand Slam ke-25.
“Saya rasa inilah pentas paling besar sekarang. Final Grand Slam menentang Carlos merupakan satu detik istimewa, bukan hanya untuk saya tetapi juga untuknya,” kata Sinner selepas perlawanan.
“Dia menang di sini tahun lalu. Jadi, kita akan lihat apa yang berlaku kali ini. Sudah tentu ada tekanan terutama kerana kami berdua masih muda dan penuh potensi,” tambahnya.
Perlawanan akhir itu bakal menjadi pertama kali kedua-dua pemain bertemu di pentas final Grand Slam dan juga kali pertama final major menemukan dua pemain kelahiran selepas tahun 2000.
Sinner yang juga juara tiga kali Grand Slam belum tewas sebarang set dalam kejohanan dan membawa rekod 20 kemenangan berturut-turut dalam kejohanan major.
Pemain Itali itu berharap dapat membalas kekalahan kepada Alcaraz dalam separuh akhir tahun lalu, di mana dia tewas dalam lima set.
Alcaraz juga menewaskan Sinner dalam empat pertemuan terakhir termasuk di final Terbuka Itali pada Mei lalu.
Kemenangan ke atas Djokovic turut menyaksikan Sinner mengekalkan dominasi ke atas pemain berusia 38 tahun itu dengan rekod 5-4 keseluruhan dan menang empat kali berturut-turut dalam pertemuan terakhir mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






