
Sindiket seludup minyak masak peket ke negara jiran tumpas
PASIR MAS – Pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah merampas 7,735 kilogram (kg) minyak masak peket bernilai RM70,000 yang cuba diseludup ke negara jiran di sebuah rumah transit di Tendong, di sini pada malam semalam.
Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga turut menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun serta menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis Hino dan Proton Wira Aeroback.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, sindiket tersebut menggunakan modus operandi dengan membawa masuk minyak masak bersubsidi dari luar negeri tanpa sebarang dokumen sah untuk diseleweng ke negara jiran.
“Sebanyak 455 kotak minyak masak satu kilogram pelbagai jenama ditemui disorok di dalam lori terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki tempatan bersama seorang kelindan berada dalam lori yang sarat muatan minyak masak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi lelaki berusia 30 tahun dikesan sedang memunggah kotak-kotak minyak masak ke dalam sebuah kereta Proton Wira ketika serbuan dilakukan, namun berjaya melarikan diri dan kini sedang diburu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Azman turut memaklumkan bahawa Ops Tiris akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa menerusi kerjasama bersepadu antara agensi sempadan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi.
“Orang ramai disaran menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan barangan kawalan.
“KPDN tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |