BERITA SEMASA

Sindiket seludup migran guna media sosial, 146 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket penyeludupan migran menggunakan media sosial untuk menawarkan khidmat keluar masuk Malaysia terbongkar selepas Operasi Khas dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 146 warga asing dan 24 individu tempatan serta asing yang dipercayai dalang utama sindiket.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, enam serbuan berasingan dilakukan di sekitar Lembah Klang dalam operasi berkenaan yang berlangsung sepanjang Februari dan Mac lalu.

Katanya, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mengiklankan perkhidmatan mereka secara tersembunyi dalam talian, mengambil kesempatan daripada capaian luas serta kesukaran pihak berkuasa mengesan identiti sebenar mereka.

Susulan itu, pihaknya telah melancarkan operasi khas (Op Khas) pada Februari dan Mac lalu bagi membanteras sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial sebagai platform utama dalam aktiviti mereka.

“Sebanyak enam serbuan berasingan dijalankan di kawasan Lembah Klang dan hasil operasi ini, seramai 146 orang migran warga Indonesia telah ditangkap.

“Selain itu, 24 orang ditahan kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berperanan sebagai penjaga rumah transit, pengrekrut, tekong darat, tekong laut serta transporter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Soffian, sindiket penyeludupan migran itu menggunakan rumah penampungan sebagai tempat transit bagi migran yang ingin keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Tekong darat akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan hingga sampai ke persisiran pantai.
“Laluan yang sering menjadi pilihan sindiket untuk membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) kebanyakannya melibatkan perairan Selangor,” katanya.

Bayaran yang dikenakan oleh sindiket untuk memasukkan atau mengeluarkan migran dari Malaysia adalah antara RM1,300 hingga RM2,500 seorang.

Soffian menambah bahawa pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendapatkan butiran pemilik akaun media sosial yang terlibat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah penyeludupan migran. Kami akan memastikan keselamatan negara terjamin dan undang-undang dihormati,” katanya.

Soffian turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button