Berita Semasa

Sime Darby, BYD buka dua lagi pusat pameran dan perkhidmatan

KUALA LUMPUR – Sime Darby Motors yang merupakan cabang automotif Sime Darby Berhad dan pengeluar kenderaan tenaga baharu yang terkemuka di dunia, BYD membuka dua lagi Pusat BYD yang baharu di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pembukaan ini merupakan sebahagian daripada usaha meluaskan kehadiran BYD di Malaysia.

Pusat-pusat ini yang dibangunkan oleh anak syarikat Sime Darby Motors, Sime Darby Beyond Auto, yang menawarkan kemudahan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia kepada pelanggan di seluruh negara, yang terletak secara strategik di kawasan utara dan selatan.

Pengarah Urusan, Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan, berkata, kedua-dua pusat baharu ini dibina untuk menyediakan pengalaman lebih baik bagi pelanggan kerana terletak di dalam pusat beli-belah, manakala pembukaan bilik pameran terkini BYD di kawasan utara dan selatan membuktikan pertumbuhan pantas jenama di seluruh Malaysia.

“Sambutan kepada BYD di pasaran Malaysia adalah amat positif, jelas menunjukkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat di negara ini. Kami gembira untuk mengukuhkan momentum kami dengan peluasan ini untuk terus memenuhi permintaan EV yang semakin ketara dalam kalangan pengguna di seluruh Malaysia menerusi kenderaan inovatif BYD,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT BYD Motor Indonesia, Eagle Zhao berkata, pengembangan rangkaian BYD secara agresif di Malaysia membuktikan pertumbuhan positif bagi prospek EV di negara ini, memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia mengiktiraf kehadiran jenama BYD dan manfaat EV.

“Ini sekali gus menunjukkan keyakinan dalam jenama BYD dan kerjasama kukuh dengan Sime Darby Motors dan kami berharap untuk terus memperkukuh pakatan ini,” ujarnya.

Pelanggan BYD dari kawasan utara dan selatan kini boleh menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan di kedua-dua pusat perkhidmatan tersebut bagi memenuhi keperluan penyenggaraan dan servis kereta.

Bagi kemudahan pelanggan kedua-dua pusat tersebut turut menjamin bekalan alat ganti yang secukupnya bagi kenderaan dan usaha ini disokong oleh juruteknik yang sangat terlatih di pusat-pusat perkhidmatan selepas jualan untuk memastikan kepakaran dan penjagaan berkualiti.

Selain daripada bilik-bilik pameran baharu di Gurney Plaza Pulau Pinang dan Mid Valley Southkey Johor, bilik-bilik pameran BYD Sime Darby Beyond Auto yang terletak secara strategik di Lembah Klang termasuk bilik pameran utamanya di Ara Damansara dan yang pertama di tengah-tengah Kuala Lumpur iaitu di TREC, Jalan Tun Razak.

Para pelanggan yang berminat boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran BYD Sime Darby Beyond Auto di seluruh Malaysia untuk memandu uji BYD ATTO 3.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button