BERITA SEMASA

Silat tertutup Kuala Langat 2025 semarakkan warisan, bakat muda

KUALA LANGAT – Warisan seni bela diri silat terus diperkasa menerusi penganjuran Kejuaraan Silat Challenge Tertutup Kuala Langat 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Bukit Jugra, semalam.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta pada hari pertama, diikuti perlawanan dan acara penutup pada hari kedua dan ketiga.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras DUN Sijangkang, Datuk Zurihan Mohd Yusof.

Katanya, silat bukan hanya tertumpu kepada aspek pertahanan diri semata-mata, malah mencerminkan kekuatan jati diri bangsa, disiplin serta maruah yang tinggi.

“Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, ia melambangkan kekuatan bangsa, disiplin dan maruah.

“Melihat semangat anak-anak muda hari ini memberi keyakinan bahawa warisan ini akan terus hidup dan dihormati,” katanya dalam ucapan perasmian.

Kejohanan anjuran PESAKA Kuala Langat di bawah pimpinan Roslan Affendy Torji itu turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama Exco Kerajaan Negeri yang diwakili oleh Sharuddin Abdul Karim, selaku wakil rasmi kepada ADUN Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah.

Turut memainkan peranan penting dalam penganjuran kejohanan tersebut ialah Ahli Majlis MPKL Zon 21, Nur Zairina Muzaini yang menyifatkan program itu sebagai satu usaha berimpak tinggi kepada pembangunan belia setempat.

“Program ini bukan sahaja mencungkil potensi pesilat muda, malah menyemai semangat saling menyokong, hormat-menghormati dan cinta akan budaya sendiri, inilah nilai yang perlu dibentuk dalam kalangan anak muda,” ujarnya.

Tambahnya, penglibatan dalam dunia persilatan mampu menjadi medium untuk membina sahsiah serta ketahanan mental golongan muda.

“Tidak semua yang kita rancang akan berlaku seperti yang diharapkan, namun silat mengajar kita untuk tetap tabah, merendah diri dan terus berusaha walau diuji,” tambahnya.

Kehadiran para ibu bapa yang memberikan sokongan moral turut memeriahkan suasana dan membakar semangat peserta yang bertanding.

Kejohanan ini dilihat sebagai platform yang signifikan dalam melahirkan lebih ramai pesilat berpotensi dari daerah Kuala Langat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan warisan di peringkat negeri dan kebangsaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button