BERITA SEMASASUKAN

Sijil kelahiran nenek bukti Machuca tiada asal usul dari Malaysia

KUALA LUMPUR – Misteri mengenai asal usul pemain kelab Vélez Sarsfield, Imanol Machuca, terjawab selepas satu dokumen rasmi sijil kelahiran didedahkan media Argentina yang membuktikan neneknya bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya dilahirkan di Argentina.

Laporan eksklusif portal Capital de Noticias itu menjadi tumpuan selepas FIFA mengesahkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan Malaysia yang disabitkan kesalahan memalsukan maklumat kelayakan asal-usul untuk bermain di peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap semua pemain terlibat.

Selain itu, setiap pemain turut dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,900) manakala FAM diperintah membayar denda keseluruhan 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta).

Susulan perkembangan itu, media Argentina telah mendedahkan dokumen yang didakwa sijil kelahiran asal nenek Machuca, Concepción Agueda Alaniz, yang membuktikan wanita itu dilahirkan di bandar Roldán, daerah San Lorenzo, Wilayah Santa Fe, Argentina — bukan Pulau Pinang seperti yang sebelum ini didakwa.

Menurut dokumen bertarikh 23 Ogos 1954, seorang lelaki bernama Celestino Alaniz, warga Argentina, melaporkan kelahiran anak perempuannya, Concepción Agueda, hasil perkahwinannya dengan Nélida Agustina Ordóñez.

Pendedahan itu sekaligus menolak dakwaan bahawa Machuca mempunyai pertalian darah dengan mana-mana individu berketurunan Malaysia, sekali gus menafikan kelayakannya untuk beraksi atas dasar warisan keluarga.

Media sama turut melaporkan bahawa semakan terhadap sijil perkahwinan menunjukkan Concepción Agueda Alaniz berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh kelahiran Roldán pada 27 Ogos 1971, sekali gus mengesahkan kedua-duanya warganegara Argentina sepenuhnya.

Sebelum ini, Machuca dalam wawancara bersama media penyokong Sábado Vélez mendakwa beliau layak mewakili Malaysia melalui neneknya yang kononnya berasal dari Pulau Pinang, namun hasil siasatan terkini membuktikan sebaliknya.

Portal sama sebelum ini turut mendedahkan kes serupa melibatkan pemain Facundo Garcés, apabila dokumen kelahiran datuknya yang dikatakan dari Pulau Pinang turut menunjukkan asal usul sebenar di Santa Fe, Argentina.

Bagaimanapun, kesahihan sijil kelahiran tersebut masih dalam proses pengesahan rasmi, namun pendedahan itu telah mencetuskan persoalan besar terhadap ketepatan semakan latar belakang asal usul pemain naturalisasi di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button