BERITA SEMASA

Sidang Parlimen Khas bincang isu tarif AS pada 5 Mei Ini – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa negara, termasuk Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memuktamadkan tarikh serta atur cara sidang khas tersebut yang akan dimulakan pada pukul 11 pagi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucapan pembukaan disusuli sesi perbahasan yang akan melibatkan penyokong kerajaan serta wakil pembangkang.

“Perbahasan ini penting bagi membolehkan semua pihak menyuarakan pandangan dan kebimbangan berhubung kesan tarif tersebut terhadap ekonomi negara,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Menurut Fahmi, sidang itu akan ditutup dengan penggulungan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Kewangan bagi menjelaskan pendirian serta strategi kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut memaklumkan bahawa dua menteri kanan, iaitu Menteri MITI dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

kini berada di Washington DC, Amerika Syarikat bagi mengadakan rundingan dan perbincangan lanjut dengan rakan sejawat mereka.

“Rundingan ini amat penting bagi memahami pendekatan AS dan memberi peluang kepada Malaysia menyampaikan pendirian kita secara terus,” ujarnya.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkaitan rundingan tersebut akan dimaklumkan sebaik kedua-dua menteri pulang dan membentangkan laporan penuh kepada Jemaah Menteri.

Isu tarif dilihat berpotensi memberi kesan kepada sektor eksport dan pelaburan asing negara, justeru perhatian serius diberikan oleh kerajaan untuk memastikan kepentingan ekonomi negara terus dipelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button