Malaysia perkukuh kebersamaan ASEAN ketika dunia bergolak – Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia menggalas amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 ketika dunia sedang berdepan suasana penuh keresahan dan ketidaktentuan, namun rantau ini kekal memilih jalan kebersamaan, dialog serta saling menghormati sebagai teras utama kerjasama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Ke-47 berperanan sebagai wadah penting untuk menyatukan pandangan negara anggota selain merapatkan jurang perbezaan demi kestabilan serantau.
Menurut beliau, tahun kepengerusian Malaysia turut mencatatkan detik bersejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota baharu keluarga ASEAN, sekali gus mengukuhkan lagi kesatuan dan solidariti rantau ini.
“Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Ke-47 menjadi ruang untuk menyatukan pandangan dan merapatkan jurang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Anwar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin negara ASEAN serta rakan-rakan antarabangsa yang hadir dengan semangat kebijaksanaan dan keikhlasan dalam usaha bersama memastikan keamanan dan masa depan yang lebih stabil.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan padu serta layanan mesra yang diberikan kepada para delegasi dan tetamu sepanjang tempoh kepengerusian itu.
Katanya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menyerlahkan kedudukan negara sebagai rakan yang diyakini dalam memelihara keamanan, kestabilan dan harapan baharu bagi rantau ini.
“Kepengerusian ini mengangkat Malaysia sebagai rakan yang diyakini dalam usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan harapan di rantau ini,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








