BERITA SEMASA

Siasatan polis berhubung kebakaran paip gas Putra Heights selesai – MB Selangor

SUBANG JAYA – Siasatan polis berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini telah selesai, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Walau bagaimanapun, Amirudin memaklumkan siasatan teknikal secara menyeluruh masih belum lengkap memandangkan kawasan kebakaran itu masih ditakungi air dan memerlukan tempoh yang panjang untuk diproses.

“Kita perlukan sedikit lagi masa kerana kawasan tersebut masih lagi ditakungi air dan memerlukan masa yang panjang untuk diproses ataupun untuk proses siasatan daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG/DOJ) ataupun JPKT.

“Kita juga ada cadangan menyeluruh bagaimana keseluruhan jajaran paip ini dapat dielakkan di masa depan atau kurangkan potensi berlaku peristiwa seperti ini kembali demi menjaga kebaikan dan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program serahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor bersetuju untuk memberikan bantuan wang sewaan rumah kepada seramai 455 keluarga sebanyak RM6,000 untuk tempoh tiga bulan, iaitu sebanyak RM2,000 bagi bulan April, Mei dan Jun tahun ini.

“Peruntukan sebanyak RM2.73 juta ini telah mula disalurkan kepada setiap keluarga supaya mereka dapat menampung kos sewaan dengan pilihan rumah masing-masing sementara fasa pembinaan rumah berlangsung,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan kesihatan, Amirudin berkata, kerajaan negeri kini dalam proses mendapatkan laporan berkala daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berhubung situasi kesihatan mangsa yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata, terdapat penduduk yang masih menerima rawatan dan mungkin perlu menjalani proses pembedahan serta cantuman kulit.

Justeru itu, katanya, EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin akan berhubung dengan mangsa serta hospital berkaitan bagi menghulurkan bantuan yang sepatutnya.

“Dengan usaha-usaha ini, saya berharap ini mampu memberikan sedikit keselesaan dan ruang bernafas kepada mangsa-mangsa letupan saluran paip gas Putra Heights untuk bermula meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button