
Shuhaily dilantik Ketua Pengarah AKPS, Kumar ambil alih JSJ Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai ini.
Pelantikan itu akan menyaksikan beliau menerajui agensi berkenaan selama dua tahun hingga 30 Jun 2027.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyandang jawatan Pengarah JSJ sejak Ogos tahun lalu.
Susulan pertukaran itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar S Muthuvelu dilaporkan bakal mengisi kekosongan jawatan Pengarah JSJ yang ditinggalkan Mohd Shuhaily.
Maklumat pertukaran berkenaan mula tular dalam media sosial sejak malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily ketika dihubungi mengesahkan menerima arahan pertukaran tersebut, namun enggan memberi sebarang kenyataan lanjut dan meminta pihak media menantikan Majlis Serah Terima Tugas yang dijadualkan berlangsung lusa.
Sementara itu, dua lagi pegawai kanan turut terbabit dalam arahan pertukaran tersebut.
Mereka ialah Superintendan William Anak Nobes yang ditukarkan dari jawatan Superintendan Urus Setia (Dasar Strategik), Cawangan Khas Bukit Aman ke jawatan baharu sebagai Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Pejabat KPN Bukit Aman.
Turut terlibat, Superintendan Abd Rashid Abu Bakar yang sebelum ini memegang jawatan Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia KPN kini ditukarkan ke jawatan Superintendan Komunikasi Korporat (2), Urus Setia KPN di pejabat yang sama.
Bagaimanapun, tiada makluman rasmi mengenai pengisian jawatan Ketua Polis Johor yang ditinggalkan Datuk M Kumar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |