AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

ShowTech MARDI 2025 catat jualan tunai lebih RM1 juta

SERDANG — Showcase Teknologi MARDI 2025 (ShowTech MARDI 2025) mencatat jualan tunai melebihi RM1.048 juta sepanjang lima hari penganjurannya yang berakhir semalam, dengan kehadiran lebih 400,000 pengunjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, kejayaan program ini menyerlahkan peranan dan tanggungjawab penyelidik MARDI untuk terus giat menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam memacu pembangunan dan pemodenan sektor agromakanan.

Katanya, para penyelidik dan pereka cipta, umpama jambatan yang menghubungkan aplikasi sains dan teknologi kepada masyarakat melalui inovasi dan dapatan penyelidikan yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti hidup.

Justeru, katanya, penganjuran ShowTech MARDI 2025 yang bertemakan “Peneraju Inovasi Agroteknologi sangat bertepatan dengan hala tuju kementerian untuk memperkasakan penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sektor agromakanan bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup ShowTech MARDI 2025 di MAEPS, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI Corporation Sdn Bhd, Norhalim Sirome.

Baca juga : ShowTech MARDI 2025 buka peluang perluas inovasi pertanian tempatan

Pada masa yang sama, sebanyak 22 teknologi berjaya dirundingkan di bawah program padanan perniagaan, melibatkan nilai potensi pelaburan berjumlah RM21 juta.

Menurut Isham, ShowTech MARDI 2025 merupakan satu platform interaktif yang memberi peluang kepada masyarakat awam, terutamanya golongan penyelidik, ahli akademik serta pemain-pemain industri.

“Semua pemegang taruh ini berpeluang untuk melihat secara dekat teknologi dan inovasi agromakanan yang dibangunkan oleh MARDI serta mempunyai prospek untuk dikembangkan kepada skala industri.

“Apa yang lebih penting adalah teknologi dan inovasi yang dihasilkan dapat diterima guna dan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu, petani, penternak dan nelayan, bagi memajukan serta merancakkan industri pertanian dan agromakanan negara dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam era yang serba mencabar ini,” tambahnya.

ShowTech MARDI 2025 mempamerkan lapan kluster pameran iaitu tanaman bernilai tinggi, tanaman industri, padi dan beras, teknologi makanan, pertanian pintar, teknologi ternakan, pemindahan teknologi dan Agro pelancongan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button