BERITA SEMASA

SGB MY, Kolej TAFE ceriakan pesakit cilik HTJ sempena Hari Kesihatan Sedunia

SEREMBAN – Sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2025, SGB MY Sdn. Bhd. (SGB MY) dengan kerjasama Kolej TAFE Seremban menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Jabatan Pediatrik, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini kelmarin.

Mengangkat tema Semarakkan Harapan, program itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang direka khas untuk menceriakan pesakit kanak-kanak.

Turut disampaikan adalah sumbangan ikhlas sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada mereka yang diuji dengan kesakitan.

Pengarah Urusan SGB MY, Andrew Morrow berkata, program ini bukan sahaja satu inisiatif korporat, tetapi juga lambang kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada budaya syarikat.

Pengarah Urusan SGB MY, Andrew Morrow menyampaikan cenderahati buat kakitangan Jabatan Paediatrik, Hospital Tuanku Jaafar.

“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Kolej TAFE Seremban dalam menjayakan program ini.

“Ia bukan sahaja menyokong usaha hospital dalam membawa keceriaan kepada pesakit cilik, tetapi turut membuka ruang kepada generasi muda untuk belajar nilai empati dan memberi kembali kepada masyarakat,” ujarnya dalam kenyataan.

Selain menyantuni pesakit pediatrik, program itu turut menjadi platform mendidik pelajar Kolej TAFE tentang pentingnya rasa prihatin, semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam membentuk keperibadian unggul.

“Usaha ini selari dengan tema Hari Kesihatan Sedunia 2025 ‘Permulaan Sihat, Masa Depan Cerah’ yang menekankan kepentingan membentuk generasi sihat berjiwa penyayang demi masa depan negara,” katanya.

Antara yang hadir memeriahkan program ialah Pengurus HSE Serantau Asia, Ts. Rakesh Santiran; pasukan MY GREEN Team & Jawatankuasa HSE; Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi merangkap Ketua Jabatan Pediatrik HTJ, Dr. Pauline Choo; Dr. Aina Mariana Abdul Manaf; Dr. Caroline Eng serta pentadbir dan pensyarah kanan Kolej TAFE termasuk Datuk Ibrahim Shah Sahul Hamid dan Priya Menon.

Program itu merupakan kesinambungan daripada komitmen berterusan SGB MY dalam inisiatif kesihatan komuniti, termasuk penglibatan mereka dalam kempen derma darah di HTJ sebelum ini.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan SGB MY dan Kolej TAFE Seremban melalui media sosial mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button