
Serangan udara Israel lumpuhkan lapangan terbang utama di Sanaa, Yaman
JAFFA – Israel melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang utama di Sanaa, ibu negara Yaman yang berada di bawah kawalan kumpulan Houthi.
Serangan itu mengakibatkan operasi di lapangan terbang tersebut lumpuh sepenuhnya, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF).
Serangan itu merupakan tindakan balas Israel terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi kelmarin yang menyasarkan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Dalam pada itu, Israel turut menyerang pelabuhan strategik Hudaydah di Laut Merah menjadikannya antara siri tindakan ketenteraan paling agresif sejak konflik Israel-Hamas meletus pada tahun lalu.
Menurut IDF, serangan ke atas lapangan terbang di Sanaa menyasarkan kemudahan ketenteraan milik Houthi termasuk landasan, pesawat serta infrastruktur yang didakwa digunakan untuk pemindahan senjata dan anggota militan.
“Lapangan terbang ini berfungsi sebagai pusat logistik utama bagi operasi pengganas Houthi.
“Ia kini telah dilumpuhkan sepenuhnya,” menurut kenyataan IDF itu lagi.
Sekitar sejam sebelum serangan dilancarkan, IDF sempat mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar supaya segera mengosongkan kawasan berhampiran, mesej yang disiarkan melalui media sosial itu turut disertakan peta lokasi yang bakal menjadi sasaran.
Selain itu, beberapa loji janakuasa utama serta sebuah kilang simen di utara Sanaa turut dihujani peluru berpandu dalam serangan berskala besar yang disifatkan oleh Israel sebagai usaha melemahkan keupayaan ketenteraan dan ekonomi Houthi.
Sejak perang di Gaza meletus, kumpulan Houthi secara terbuka menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran Israel serta kapal dagang yang dikaitkan dengan negara tersebut dan sekutunya.
Berdasarkan data organisasi pemantau bebas Airwars, serangan udara Amerika Syarikat telah meragut antara 27 hingga 56 nyawa awam di Yaman sepanjang Mac lalu.
Kekejaman dan kemusnahan yang berlarutan itu terus mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa, penduduk awam menjadi mangsa utama dalam konflik berpanjangan yang masih belum menunjukkan tanda akan reda.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |