
Serangan Hospital Nasser di Gaza ragut pegawai Hamas, remaja
GAZA – Serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis mengorbankan sekurang-kurangnya dua individu, termasuk seorang pegawai kanan Hamas dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, menurut Hamas dan pegawai kesihatan Palestin.
Dalam satu kenyataan, Hamas mengesahkan bahawa Ismail Barhoum, anggota Biro Politik Hamas, terbunuh ketika sedang menerima rawatan di hospital tersebut pada malam semalam.
“Kami mengutuk serangan terbaharu ini yang menambah rekod panjang keganasan penjajah, mencabul tempat suci, nyawa serta kemudahan perubatan.
“Kejadian ini membuktikan pengabaian Israel terhadap undang-undang dan konvensyen antarabangsa serta kesinambungan dasar pembunuhan sistematik terhadap rakyat dan kepimpinan kami,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengesahkan bahawa Barhoum adalah sasaran serangan tersebut.
Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan bahawa serangan itu dilakukan menggunakan peluru berpandu tepat bagi mengurangkan kemudaratan, selepas satu proses pengumpulan maklumat risikan secara meluas.
“Hamas mengeksploitasi infrastruktur awam dengan membahayakan penduduk Gaza, menggunakan hospital aktif sebagai tempat perlindungan untuk merancang dan melancarkan serangan pengganas yang melanggar undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Pembunuhan Barhoum berlaku hanya beberapa jam selepas Hamas mengumumkan bahawa pasukan Israel telah membunuh Salah al-Bardawil, seorang lagi anggota Biro Politik Hamas, bersama isterinya dalam serangan ke atas khemah perlindungan di Khan Younis.
Sejak Selasa lalu, Israel telah membunuh empat anggota Biro Politik Hamas selepas tenteranya menyambung kembali operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza susulan kebuntuan berhubung fasa baharu gencatan senjata dengan Hamas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |