Berita SemasaSukan

Sepak mula Liga M dianjak seminggu bagi beri laluan ujian VAR

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini memaklumkan sepak mula Liga Malaysia 2024-2025 terpaksa dianjakkan seminggu bagi membolehkan MFL mengadakan siri perlawanan ujian sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Menurut MFL, ia susulan pertukaran tarikh pemeriksaan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem VAR yang sebelum ini dijadual pada Februari 2024 telah ditukar ke tarikh baharu iaitu pada 16 hingga 21 April ini.

“Siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia yang bakal diadakan pada 22 April hingga 5 Mei 2024 itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada FIFA.

“Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga Malaysia tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

“Malah perlawanan ujian itu juga penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.

“Berikutan perubahan tarikh pemeriksaan FIFA tersebut, MFL terpaksa melewatkan tarikh sepak mula Liga Malaysia seminggu berbanding tarikh asal iaitu 3-5 Mei ke 10-12 Mei 2024.

“MFL kini dalam perbincangan bersama kelab-kelab yang terlibat dengan siri perlawanan ini dan maklumat lanjut mengenai perancangan ini akan diumumkan sebaik sahaja butiran telah dimuktamadkan,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam perkembangan lain, berdasarkan pengumuman mengenai Kejohanan Kelab ASEAN yang dijadualkan bermula tahun ini, MFL telah mencalonkan kepada AFF melalui FAM agar kelab yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ketiga dan keempat iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC untuk beraksi di ASEAN Club Championship (ACC) 2024.

Walaubagaimanapun, MFL masih belum menerima maklum balas AFF mengenai cadangan ini.

Tambah MFL, meskipun AFC dijangka akan mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab AFC, MFL membuat keputusan tidak akan mengikut kuota tersebut.

Sebaliknya, MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan ACL 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

“Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.

“Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga Malaysia, MFL bagaimanapun mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing,” jelas MFL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button