BERITA SEMASA

Seorang mangsa bot PATI karam ditemui selamat, empat mayat ditemukan

LANGKAWI – Seorang lagi mangsa insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand ditemui selamat, manakala empat mayat ditemukan petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, mangsa lelaki dewasa itu berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 12.49 tengah hari di kedudukan 0.1 batu nautika barat Tanjung Belua.

“Mangsa kemudian dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tidak lama selepas itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan satu mayat wanita berhampiran Pulau Intan Kecil.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) segera digerakkan menggunakan bot Rigid Inflatable Boat (RIB) ke lokasi bagi membawa mayat berkenaan ke jeti untuk diserahkan kepada polis.

Pada jam 1.41 petang, Jabatan Laut Malaysia (JLM) pula memaklumkan penemuan satu mayat lelaki terdampar di kawasan barat Tanjung Belua. Mayat itu dibawa ke jeti menggunakan bot PSC 23 milik Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Beberapa minit kemudian, kapal Maritim KM Siangin turut mengesan satu lagi mayat lelaki di lokasi kira-kira 1.6 batu nautika dari Tanjung Belua sebelum mayat dibawa menggunakan bot PERKASA 1226 ke jeti Maritim Malaysia.

Penemuan terakhir semalam berlaku pada jam 4.13 petang apabila bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB 1331 menemui satu lagi mayat lelaki kira-kira satu batu nautika dari Tanjung Belua sebelum dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pihak polis.

Setakat jam 5.30 petang, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang memasuki hari ketiga merekodkan 34 mangsa keseluruhan, dengan 14 orang diselamatkan (12 lelaki dan dua wanita), manakala 20 mangsa disahkan maut terdiri daripada tujuh lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Romli berkata, operasi Carilamat masih diteruskan dengan bantuan aset pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin (PPM), JBPM, TLDM dan APM.

“Kawasan pencarian kini ditumpukan di zon unjuran arus dan cuaca semasa yang berpotensi membawa mangsa ke daratan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai yang menjumpai mangsa atau objek dipercayai milik mangsa insiden itu agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button