BERITA SEMASA

Semua kementerian, jabatan, agensi diarah tubuh Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan

PUTRAJAYA – Setiap kementerian, jabatan dan agensi diarahkan supaya menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) bagi memantau pelaksanaan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan di peringkat masing-masing.

Arahan ini, susulan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos lepas, mengenai kepentingan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan kadar segera.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, perkara itu melibatkan proses kerja sedia ada yang perlu ditambah baik, serta peraturan-peraturan dan piagam pelanggan yang wajar dikemas kini supaya lebih menepati keperluan rakyat.

“Arahan itu bertujuan untuk memperkemas dan memperkukuh usaha pemantapan tatakelola dalam sistem pengurusan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya menerusi surat edaran yang ditandatanganinya bertarikh 19 Ogos lepas.

Bagi memastikan inisiatif itu dilaksanakan secara teratur, katanya, jawatankuasa berkenaan perlu menghantar laporan prestasi penyampaian perkhidmatan kepada Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam (BPPD JPA).

“Laporan secara berkala perlu dihantar setiap tiga bulan bagi tujuan pelaporan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),” katanya.

Tambahnya, penubuhan jawatankuasa itu diharap dapat diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berintegriti dapat direalisasikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button