
Semua hasil kajian, perbincangan berkenaan GISBH diserah kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor – MAIS
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu semua hasil kajian dan perbincangan berhubung Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang dibuat sebelum ini dikemuka serta dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan itu adalah bagi bagi memutuskan persoalan berhubung pembabitan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran serta amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar.
Beliau menjelaskan, MAIS memulakan kajian berhubung kegiatan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sejak 2020.
“Perkara ini sudah dibincangkan secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa MAIS sebelum berita tangkapan serta siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penghuni di beberapa rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH menjadi tular baru-baru ini.
“Justeru, bagi memutuskan persoalan ini, MAIS mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan yang dibuat sebelum ini dikemuka dan dibentang kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor supaya persoalan berkaitan hukum syarak ini dapat diputuskan segera oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, hasil kajian itu juga turut merangkumi isu pembabitan GISBH dalam ajaran kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya yang sudah diharamkan menurut fatwa diwartakan di Selangor pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.
Tindakan itu, jelasnya, dibuat selaras Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“MAIS menyatakan komitmen jitu untuk membanteras isu akidah termasuk penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam daripada berleluasa dalam Selangor.
“MAIS juga menegaskan kami dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya
“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |