BERITA SEMASA

Semua aktiviti kempen termasuk media sosial tamat pukul 11.59 malam ini – SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini.

Menurut Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak, selepas tempoh itu berakhir, semua pihak mesti menghentikan
sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Sementara itu, katanya, pengundi yang positif Covid-19 pula dinasihatkan untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan
urusan pengundian kelak.

“Selain itu, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju / topi / pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama / lambang/ simbol / gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button