
Sembilan maut nahas pesawat Cessna di Bangkok
BANGKOK – Sebuah pesawat ringan terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini menyebabkan kesemua sembilan orang terkorban semalam.
Usaha penyelamat mendapati tiada mangsa terselamat di lokasi nahas yang terletak di kawasan paya bakau di wilayah Chachoengsao, kira-kira 40 kilometer dari lapangan terbang tersebut.
Seorang jurucakap kerajaan berkata, usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan selama sejam berjaya menemui bangkai pesawat yang hancur berkecai di kawasan berpaya yang sukar dimasuki seperti dilaporkan VN Express.
Agensi berita Xinhua melaporkan, lima daripada mangsa yang terkorban adalah rakyat China.
“Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum didedahkan kepada umum.
“Mangsa lain yang terkorban termasuk dua kru kabin wanita Thailand serta juruterbang dan pembantu juruterbang, juga warga tempatan,” katanya lagi.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand mengesahkan bahawa pesawat enjin kipas jenis Cessna Caravan C208B itu dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta, Thai Flying Service Company.
Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada pukul 2.46 pagi (waktu Malaysia) namun hubungan radio dan radar terputus 11 minit kemudian, ketika pesawat berada kira-kira 35 kilometer ke tenggara lapangan terbang.
Ketika kejadian, pesawat itu sedang dalam perjalanan menuju ke Trat, sebuah wilayah pesisir pantai yang terletak kira-kira 275 kilometer ke tenggara Bangkok.
Punca nahas masih belum diketahui.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






