
Semak semula program, kursus di IPT – Zambry Kadir
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyemak semula program dan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan kesesuaian dengan keperluan pasaran kerja masa depan, khususnya dalam menghadapi perubahan pesat dunia teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, terdapat program yang tidak lagi relevan kerana diwujudkan lebih dua dekad dahulu berdasarkan keperluan semasa ketika itu.
“Kita kenal pasti ada jabatan atau fakulti yang ditubuhkan 20 hingga 30 tahun dahulu.
“Walaupun tidak semua, namun ada yang perlu diteliti semula agar selari dengan perkembangan baharu seperti AI dan teknologi tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Nasional KPT 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini.
Menurut beliau, usaha itu turut melibatkan kerjasama rapat dengan industri dalam menyelaraskan semula struktur kursus serta memperkenalkan bidang baharu di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti.
Zambry berkata, antara tumpuan utama adalah memastikan graduan tidak sekadar memperoleh pekerjaan, tetapi bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian mereka bagi mengatasi isu pekerjaan tidak setara atau underemployment.
“Kita mahu graduan keluar dan bekerja dalam bidang mereka. Program seperti hari ini bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi terus dengan industri dan melihat peluang sebenar yang tersedia,” jelasnya.
Tambahnya lagi, statistik terkini menunjukkan lebih 95 peratus graduan politeknik memperoleh pekerjaan, manakala kadar kebolehpasaran graduan secara keseluruhan mencecah 92 peratus, bergantung kepada bidang dan institusi masing-masing.
Namun begitu, katanya, pengangguran dalam kalangan graduan tetap menjadi isu yang perlu dipantau dengan teliti dan tindakan proaktif diperlukan bagi memastikan IPT sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Aneese Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |