Berita SemasaDalam Negeri

Semak dan lunaskan cukai sebelum disekat – LHDN

KUALA LUMPUR – Sempena cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengingatkan pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, berdasarkan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, pihaknya mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan cukai daripada meninggalkan Malaysia.

“Sekatan perjalanan ini hanya dikenakan sebagai langkah terakhir setelah pelbagai peringatan dan notis diberikan kepada pembayar cukai yang masih gagal melunaskan bayaran tertunggak.

“Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, pembayar cukai dinasihatkan untuk menyemak status tunggakan cukai menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/.

“Mereka juga boleh memeriksa status sekatan perjalanan melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

“Jika terdapat sekatan perjalanan, mereka perlu melunaskan bayaran cukai yang tertunggak atau berunding dengan Pejabat HASiL bagi mendapatkan kelulusan bayaran secara ansuran,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, menurut LHDN lagi, pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di portal MyTax dengan memenuhi empat syarat.

Antaranya ialah pemohon adalah Warganegara Malaysia, pembayaran tunggakan dibuat sepenuhnya, sekatan dikenakan di bawah ACP 1967 dan tidak melibatkan sekatan terhadap pengarah syarikat.

Maklumat lanjut mengenai e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk di laman rasmi LHDN melalui pautan https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/.

Selain itu, permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 03-8911 1000 atau berkunjung ke Pejabat LHDN terdekat mengikut waktu operasi yang ditetapkan.

Tidak ketinggalan, LHDN turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan berharap perayaan itu membawa kebahagiaan, keberkatan serta kesejahteraan kepada semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button