BERITA SEMASA

Seleweng dana: 311 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib oleh JPA

KUALA LUMPUR – Seramai 311 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan kuasa sehingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata, tindakan yang diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah setakat 14 Januari lalu.

Beliau berkata, integriti pegawai dan kakitangan kerajaan adalah kunci untuk memastikan sistem dan perkhidmatan berjalan dengan baik, adil, dan telus, namun persekitaran atau budaya kerja dalam organisasi juga memainkan peranan penting

“Antara tindakan terhadap penjawat awam dikenal pasti melakukan salah laku sedemikian adalah diberikan amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan dibuang kerja.

“Selain itu, dua penjawat awam juga telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atas tuduhan berkaitan salah laku dana awam,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu apakah tindakan susulan terhadap penjawat awam yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana awam seperti dibentangkan dalam laporan KAN.

Mengulas lanjut, M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, bagi tempoh 2012 hinggga Januari 2025, sebanyak 12,393 isu telah diaudit dengan 11,594 isu telah diselesaikan, manakala 799 masih disiasat.

“Bagi tindakan pula, sehingga 24 Februari (hari ini), 32 isu disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 138 disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan 116 isu membabitkan siasatan oleh jawatankuasa khas siasatan (JKS),” katanya.

Terdahulu, M Kulasegaran menyatakan komitmen kerajaan dalam memberi tumpuan terhadap tatakelola pentadbiran awam ditambah baik dan dipertingkatkan melalui pelbagai reformasi institusi dan memperkenalkan inisiatif baharu.

Beliau berkata, usaha itu diterjemahkan menerusi pindaan kepada Akta Audit 1957 (Akta 62), memperkenalkan Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara, iaitu platform pemantauan dalam talian oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

“Kini dalam pentadbiran Kerajaan Madani, isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat.

“Ini satu usaha reformasi dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti pengauditan, supaya perhatian dan pengamatan yang mendalam oleh semua pihak dapat diberikan bagi mendukung hasrat kerajaan untuk mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai kaedah kerajaan dapat memastikan setiap peruntukan dana awam diumumkan dalam Belanjawan tidak diselewengkan,

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button