
Selepas AS, giliran Britain bersiap sedia hadapi cuaca ekstrem
LONDON – Pejabat Meteorologi Britain mengeluarkan amaran berwaspada kepada semua penduduk berikutan ramalan cuaca buruk dengan salji, hujan dan banjir bermula semalam.
Sementara itu, Agensi Alam Sekitar pula meramalkan lebih 150 lokasi akan mengalami banjir akibat hujan lebat yang diburukkan lagi dengan fenomena salji cair.
Keadaan itu dikatakan akan menyebabkan gangguan besar-besaran terhadap perkhidmatan pengangkutan, laluan kereta api dan lapangan terbang.
Menurut Lebuhraya Nasional negara itu, berapa jalan utama di utara dan tengah England ditutup kerana salji atau banjir.
Awal hari ini, Lapangan Terbang Manchester menutup sementara landasannya kerana salji tebal berikutan langkah serupa oleh Lapangan Terbang Liverpool, kelmarin.
“Sesetengah pelepasan dan ketibaan mungkin masih mengalami kelewatan,” kata Lapangan Terbang Manchester dalam kenyataannya.
Pejabat Meteorologi berkata, beberapa bahagian di UK telah menghadapi malam musim sejuk paling sejuk setakat ini, dengan suhu di bahagian Scotland jatuh serendah -13.3 darjah Celsius.
Britain dijangka mengalami cuaca buruk ini dalam beberapa hari akan datang dengan pihak berkuasa menyeru orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta memantau perkembangan terkini melalui saluran rasmi.
Beberapa hari lalu, ribut musim sejuk yang kuat melanda bahagian tengah Amerika Syarikat (AS) menyebabkan jutaan penduduk di kawasan timur negara itu berdepan ancaman salji tebal, ais berbahaya dan suhu beku yang menyebabkan gangguan perjalanan yang serius.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |