BERITA SEMASADALAM NEGERI

Selebriti ternama meriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM 2025

SERDANG – Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, di sini semalam diserikan dengan persembahan istimewa oleh dua ikon seni terkenal, Hetty Koes Endang dan Datuk Jamal Abdillah.

Hetty Koes Endang, penyanyi legenda dari Indonesia, mempersembahkan tiga lagu popularnya Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya dan Berdiri Bulu Romaku.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menjelaskan bahawa kehadiran Hetty adalah atas dasar persahabatan lama antara keluarga mereka.

Hetty tidak mengenakan sebarang bayaran untuk persembahan tersebut dan itu membolehkan kementerian mendapat penjimatan sebanyak RM100,000.

“Hetty kebetulan berada di Malaysia untuk bercuti di Langkawi dan bersetuju untuk singgah memeriahkan majlis tersebut secara percuma,” dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di MAEP, Serdang semalam.

Selain Hetty, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan oleh Datuk Jamal Abdillah, yang menyampaikan beberapa lagu malar segar beliau.

Kehadiran dua bintang besar itu bukan sahaja menghiburkan para tetamu, tetapi juga menambahkan seri kepada majlis yang bertujuan menghargai sumbangan warga KPKM serta memupuk semangat perpaduan sempena Aidilfitri.

Majlis itu dihadiri oleh ribuan tetamu, termasuk warga kementerian dan ahli keluarga yang turut berpeluang beramah mesra dengan Menteri dan barisan kepimpinan KPKM.

Acara tersebut mencerminkan usaha kementerian dalam mengeratkan hubungan antara kakitangan serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button