
Selangor sedia benarkan penjawat awam wanita pulang awal pada bulan Ramadan
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedia memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita pulang lebih awal ketika Ramadan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat, kata Selangorkini.
“Kita akan bincang dalam MMKN jika ada keperluan, tapi setakat ini masa yang telah kita tetapkan itu mencukupi untuk mereka bekerja dan pulang.
“Kita juga ada pertimbangkan waktu fleksibel, kalau mereka pulang awal, perlu juga datang awal supaya produktiviti tidak terganggu dan ada peluang tunaikan tanggungjawab sediakan juadah dan sebagainya,” katanya.
Amirudin berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Festival Ramadan Selangor (Festira25) edisi ke-11 di kompleks beli belah SACC, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad.
Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan membenarkan penjawat awam wanita negeri itu pulang pada pukul 2 petang pada setiap Jumaat, Ramadan ini.
Selain Negeri Sembilan, kerajaan Pahang turut menetapkan waktu bekerja bagi penjawat awam pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan berakhir lebih awal iaitu pada pukul 12.30 tengah hari.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |