
Selangor laksana Waktu Bekerja Fleksi sepanjang Ramadan
SHAH ALAM – Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) bagi kakitangan awam di bawah pentadbiran negeri sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, langkah itu selaras dengan garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan Ceraian SR.4.1.1. Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia mengenai pelaksanaan WBF di agensi kerajaan persekutuan.
“WBF ini bertujuan memberikan fleksibiliti kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka sepanjang bulan puasa tanpa menjejaskan kualiti dan kelancaran perkhidmatan kerajaan negeri.
“Selaras dengan itu, kerajaan negeri memberi kelonggaran dengan mengurangkan waktu rehat sebanyak 30 minit. Ini membolehkan kakitangan meninggalkan pejabat 30 minit lebih awal iaitu antara pukul 4 hingga 5.30 petang tertakluk kepada pemenuhan tempoh waktu bekerja 9 jam sehari,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Fadzli menegaskan bahawa pelaksanaan WBF ini tidak akan menjejaskan operasi kaunter perkhidmatan di jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Pelaksanaan WBF ini bukan sekadar memberikan kemudahan kepada penjawat awam, tetapi juga sebagai langkah menjaga kebajikan mereka agar dapat bekerja dengan lebih selesa dan seimbang sepanjang tempoh berpuasa.
“Kerajaan Negeri Selangor komited dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam terpelihara, tanpa menjejaskan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat,” ujar beliau.
Pelaksanaan WBF sepanjang Ramadan ini diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti penjawat awam, sekaligus memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan dengan lancar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |