BERITA SEMASA

Selangor laksana pelepasan air empangan

Langkah siapsiaga hadapi Monsun Timur Laut (MTL)

SHAH ALAM – Selangor mula melaksanakan strategi pengurangan kapasiti simpanan air empangan melalui pelepasan air secara optimum sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, kaedah pengurangan itu dilaksanakan bermula 16 Ogos hingga 30 September di kesemua tujuh empangan dikawal selia Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Langkah ini adalah bagi memastikan kapasiti simpanan air empangan dikurangkan ke tahap 90 peratus, kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan adalah inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk tujuan kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan yang tinggi dan bagi mengelakkan limpahan/spill air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku.

“Kawalan pelepasan air empangan akan disemak semula berdasarkan perubahan cuaca yang dijangkakan bermula 1 Oktober dengan simpanan tidak melebihi 95 peratus bagi semua empangan dan 90 peratus bagi Klang Gates sebelum 15 Disember,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan rekod pemantauan di Integrated Water Resources Management System (IWRIMS), LUAS mendapati berlaku peningkatan empat peratus kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates berikutan hujan lebat pada 12 Ogos dengan jumlah 75 milimeter (mm) di kawasan tadahan empangan itu.

Bagaimanapun, katanya, tidak berlaku sebarang limpahan daripada empangan tersebut susulan ruang yang masih mencukupi untuk menampung kadar hujan luar biasa pada masa ini.

“Sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan-empangan yang terlibat dengan mengambil kira trend paras air sungai semasa serta ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Justeru, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras air sungai menunjukkan trend meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button