Selangor fokus tangani isu banjir yang belum selesai
SHAH ALAM – Isu tebatan banjir yang belum selesai sepenuhnya di negeri Selangor akan ditangani dengan segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Amidudin Shari berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada penduduk yang menyatakan keresahan serta kerisauan mereka terhadap situasi yang berulang kerana komponen Rancangan Tebatan Banjir yang dirasai kurang disegerakan.
Kata Amirudin, beliau sendiri telah turun meninjau situasi banjir yang melanda Taman Melawis di Klang dan Taman Sri Muda di Shah Alam.
“Susulan itu, saya telah mengarahkan Datuk Ir. Izham Hashim (Exco Infrastruktur) untuk mengatasi dengan segera semua isu yang menyebabkan proses pembinaan usaha tebatan banjir sama ada di peringkat Tempatan, Negeri ataupun Persekutuan belum dapat disegerakan sepenuhnya.
“Meskipun hampir empat tahun telah berlalu, episod ngeri bah besar Disember 2021 masih terlekat dalam ingatan setiap rakyat Selangor dan tiada sesiapa mahu melihatnya berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau turut berkata sudah mengarahkan supaya satu mesyuarat koordinasi diadakan segera bagi menangani isu banjir yang berlaku.
“Sebagai usaha permulaan, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi (diarahkan) untuk memanggil mesyuarat koordinasi segera esok, melibatkan semua pihak termasuk kedua-dua MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan MBDK (Majlis Bandaraya Diraja Klang) serta JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) supaya isu ini dapat ditangani segera,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








