Selangor FC akan kemukakan rayuan kepada FAM
KUALA LUMPUR – Selangor FC (SFC) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman yang dikenakan badan induk itu kepada Gergasi Merah atas lima pertuduhan.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, yang menyatakan in kelab itu akan mengemukakan rayuan kepada FAM.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton dalam Piala FA dan denda RM100,000 dikenakan terhadap SFC.
Hukuman itu susulan insiden kekecohan penonton ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.
Dalam kenyataan, Bajit menjelaskan, Selangor dikenakan lima pertuduhan yang mana kelab itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan keempat serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan kelima.
Beliau berkata hukuman beraksi tanpa penonton akan berkuatkuasa bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2025-2026 antara Selangor dan Sabah di Stadium MBPJ, 30 November ini dan aksi pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
Bagi pertuduhan pertama, Baljit dalam kenyataan itu mendakwa, pada perlawanan berkenaan penyokong Selangor FC membakar mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan dilihat dan didengari dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.
Pertuduhan kedua, penyokong Selangor FC didakwa merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC.
Pertuduhan ketiga, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC didakwa membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
Bagi pertuduhan keempat pula, penyokong Selangor FC didakwa melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, Selangor FC didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran seperti mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada (undang-undang FIFA & AFC, undang-undang FAM, undang-undang nasional, perjanjian antarabangsa) dan mengambil setiap langkah keselamatan mengikut keadaan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan jika insiden berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






