BERITA SEMASA

Selangor catat jumlah jemaah haji tertinggi 

SHAH ALAM – Selangor mencatatkan jumlah jemaah haji tertinggi bagi musim haji tahun ini (1446H/2025M) dengan 8,338 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, daerah Hulu Langat merekodkan bilangan paling ramai bakal haji iaitu seramai 2,771 orang.

Katanya, daerah Petaling mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 2,593 orang jemaah.

“Kesemua bakal haji ini telah mengikuti 13 siri Kursus Asas Haji dan Kursus Intensif.

“Hari ini pula merupakan kemuncak latihan menerusi Kursus Perdana Haji yang menumpukan kepada latihan praktikal manasik haji,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Tabung Haji sentiasa komited dalam menjaga kebajikan serta keselamatan para jemaah haji Malaysia dan kini menjadi contoh kepada negara Islam lain.

Menurutnya, kejayaan pengurusan jemaah haji Malaysia tidak akan dicapai tanpa kerjasama serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh para jemaah setiap tahun.

“Saya berharap jemaah haji tahun ini dan yang akan datang dapat terus mengekalkan prestasi serta nama baik negeri Selangor dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota sebanyak 31,600 jemaah bagi Malaysia, dengan penerbangan pertama dijadual berlepas pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berangkat pada 30 Mei ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button