BERITA SEMASADALAM NEGERI

‘Selangor Care Network’ perkasa ekosistem penjagaan negeri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif memperkukuh ekosistem penjagaan di negeri itu dengan pelancaran Rangkaian Penjagaan Selangor (Selangor Care Network/SCN) hari ini.

Ia melibatkan kerjasama semua pemegang taruh termasuk kerajaan, NGO, sektor swasta, institusi akademik, badan antarabangsa serta penjaga formal dan tidak formal.

Anfaal
Gimik pelancaran rangkaian Selangor Care Network oleh Anfaal (tengah) dan barisan tetamu kehormat.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, SCN dengan tagline “We Care, Stronger Together” merupakan rangkaian strategik yang bertujuan menggerakkan agenda penjagaan melalui kerjasama pelbagai pihak.

“Melalui Selangor Care Network, kita akan bersama berkongsi data dan saling meneroka peluang, mengadvokasi dasar, membina kapasiti, berdialog dan bertukar pandangan serta memperluas jaringan strategik untuk menambah baik sistem sokongan penjagaan,” katanya ketika merasmikan pelancaran SCN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menurut Anfaal, rangkaian itu akan bertindak sebagai platform untuk mengkoordinasi, memperkukuh dan mengembangkan agenda penjagaan secara kolektif.

“Ia sejajar dengan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 serta prinsip UN Women yang menekankan penglibatan penjaga dalam pembuatan dasar,” tegasnya.

Tambah beliau, tiga objektif strategik SCN adalah untuk menjalin sinergi pelbagai pihak, menjadi platform perkongsian rentas sektor dan mewujudkan ekosistem penjagaan yang mampan.

Anfaal
Anfaal bergambar dengan delegasi dan peserta Selangor International Care Summit 2025.

“Selain itu, SCN akan menjadi engin utama dalam menggerakkan transformasi penjagaan termasuk dari segi dasar, solusi inklusif dan inovatif, pelaburan sosial berimpak tinggi dan pengukuhan masyarakat,” ujarnya.

Pemegang taruh yang berminat menyertai Rangkaian Penjagaan Selangor boleh mendaftar di laman sesawang rasmi www.selangorcaresummit.com dengan memilih pautan “become our partner”.

“SCN adalah manifestasi prinsip perkongsian tanggungjawab antara pelbagai pihak dan membolehkan setiap suara penjaga didengar dalam pembentukan polisi,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button