Berita Semasa

Selami semangat Ramadan demi perpaduan negara

PUTRAJAYA – Penganjuran majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini bukan sekadar amalan tahunan tetapi menjadi bukti dasar keterangkuman kerajaan dalam memupuk keharmonian antara kaum dan agama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, nilai kesabaran, keikhlasan dan semangat kebersamaan yang dipupuk sepanjang bulan Ramadan seharusnya menjadi lambang penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, konsep kebersamaan dan perpaduan yang dipupuk itu menjadi asas kestabilan dalam membina masyarakat Malaysia Madani tanpa mengira bangsa dan agama.

“Bulan Ramadan bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengukuhkan nilai kesabaran, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam bekerja dan bermasyarakat,” katanya pada Program Sentuhan Kasih Ramadan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 1446H di sini, hari ini.

Justeru katanya, rakyat seharusnya pandai menilai dan menolak suara-suara sumbang yang cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.

Pada majlis yang dihadiri seramai 350 warga KPKT itu, Kor Ming menyampaikan sumbangan kepada 136 penerima, termasuk 37 asnaf dan 99 warga KPKT gred H1 bagi membantu persiapan Aidilfitri.

Sumbagan Ramadan disampaikan oleh Nga Kor Ming kepada penerima, termasuk 37 asnaf dan 99 warga KPKT gred H1.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira M Noor Azman Taib, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT ( Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Mohd Zamri Mat Zin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik), Datuk Saidatu Akhma Hassan.

Selain itu, KPKT turut menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan seperti Tadarus Al-Quran, Iftar Kasih Ramadan, Mimbar Ramadan, Majlis Khatam Al-Quran, Ceramah Agama, Refleksi Dhuha, dan Agihan Bubur Lambuk.

Dalam masa yang sama, sebanyak 3,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada warga KPKT yang disampaikan oleh Kor Ming sendiri.

“Inisiatif ini mencerminkan semangat ‘Stronger Together’ dalam memperkukuh hubungan silaturahim.

“Saya juga mengajak semua untuk menyahut kempen ‘Hargai Makanan, Elak Pembaziran’ dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya.

KPKT juga melaksanakan inisiatif kebajikan seperti Kempen Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) untuk menaik taraf tandas awam di R&R seluruh negara serta mempromosikan konsep ‘Zero Waste’ bagi meningkatkan kesedaran kelestarian.

Mengakhiri ucapannya, Nga mengajak semua warga KPKT untuk terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan berusaha menjadi individu yang lebih baik.

“Semoga Ramadan ini membawa keberkatan dan mengeratkan lagi silaturahim antara kita. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga KPKT, raikan dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button