
Sekolah di kawasan berisiko banjir ikuti SOP baharu tahun depan
PASIR MAS – Mulai tahun hadapan, semua sekolah yang berada di kawasan terjejas banjir akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) baharu.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi, antara prosedur tersebut adalah semua bilik guru, bilik simpanan buku teks serta makmal di setiap sekolah yang terdedah banjir perlu berada di tingkat atas.
Selain itu, penyediaan peralatan kelas seperti kerusi dan meja menggunakan bahan plastik adalah bagi mengurangkan risiko kemusnahan akibat ditenggelami banjir.
“Kementerian akan memberi peruntukan segera kepada mana-mana sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan lancar.
“Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pengetua di setiap sekolah diminta membuat laporan segera berkaitan kemusnahan dan kerugian dihadapi.
“Saya sendiri turun padang melihat kesan banjir yang berlaku di sekolah yang terjejas dan berkemungkinan ia berhadapan kerugian membabitkan ratusan ribu ringgit,” katanya ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, di sini hari ini.
Ruji seterusnya berkata, sebanyak 15 sekolah membabitkan sekolah rendah dan menengah terjejas banjir di Kelantan terutama di jajahan terutama Pasir Mas dan Tumpat.
“KPM sekarang memfokuskan untuk membaik pulih kerosakan dengan segera agar PdP dapat dijalankan dengan lancar pada tahun.
“Malah, KPM mengingatkan pihak sekolah agar mengambil tindakan awal dengan menempatkan barangan penting di tingkat atas yang bebas air jika berlaku gelombang kedua.
“Bagaimanapun, (kira berdoa) semoga tiada lagi banjir besar melanda kerana impaknya amat besar termasuk kemusnahan harta benda sekolah,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |