Sekat remaja bawah 16 guna media sosial, kerajaan dalam proses gubal perundangan
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses mengawal selia platform dalam talian untuk menyekat pengguna bawah usia 16 tahun daripada mengakses kandungan media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), dengan tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
“Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 16 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa atau ‘parental control’ selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai kesediaan Kementerian Komunikasi untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain.
Tambah Fahmi, Kementerian Komunikasi melalui MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak.
Bagi tujuan ini, katanya beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








