
Sebab anak kena kad merah, bapa cuba serang guna besi
KUALA PILAH – Seorang bapa pelajar cuba mencetuskan pergaduhan selepas anaknya dilayangkan kad merah di kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di sini baru-baru ini mendapat kecaman warga netizen.
Menerusi rakaman video yang tular, bapa tersebut berang selepas anaknya menerima kad merah dalam perlawanan bola sepak cuba memasuki padang sambil membawa sebatang objek yang dipercayai sebatang besi.
Tindakan bapa tersebut bagaimanapun dihalang oleh pegawai MSSM dan seorang anggota RELA yang merampas objek yang dibawa.
Anggota RELA kemudian menenangkan bapa berkenaan sebelum dia bersama anaknya berlalu pergi meninggalkan tempat perlawanan.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, kejohanan bola sepak itu adalah anjuran Kementerian Pendidikan dengan jadual perlawanan membabitkan beberapa tempat di seluruh negara.
“Pengadil perlawanan dilantik oleh pihak MSSM dan bukan dalam kalangan guru di negeri ini.
“Pihak sekolah yang menjadi venue perlawanan sudah mengambil tindakan sewajarnya termasuk aspek kawalan keselamatan terutama dalam menghadapi kerenah penyokong di luar padang,” katanya kepada pengamal media.
Beliau juga menyatakan kejadian berkenaan sudah diselesaikan secara baik dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.
“Semua prosedur kawalan keselamatan juga dipatuhi bagi menangani situasi yang berlaku seperti video yang tular,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








