Saya tidak minta apa-apa bayaran, menyanyi dengan rela hati – Siti Nurhaliza
KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menjelaskan kemunculannya di atas pentas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin dibuat secara sukarela.
Siti Nurhaliza berkata, beliau juga tidak menerima sebarang bayaran untuk menyanyi dalam majlis itu.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan, saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Instagram miliknya hari ini.
Dalam pada itu katanya, beliau membuat penjelasan itu kerana tidak mahu orang ramai terus membuat spekulasi terhadap majlis sambutan tersebut.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.
“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati.
“Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama/gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial mengenai ketidakpuasan hati segelitir pihak termasuk warga KKM dengan kemunculan beberapa artis terkenal dalam majlis sambutan itu.
Mereka turut membandingkan dengan jumlah elaun yang diterima berbanding bayaran yang diterima artis berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






