
Saya sudah lakukan yang terbaik selama 5 tahun – Al Sultan Abdullah
YDPA menasihatkan semua pihak memberi cukup masa kepada Perdana Menteri membuktikan kemampuannya
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui sudah melakukan yang terbaik sepanjang lima tahun baginda mentadbir kerajaan sebelum menamatkan tempoh yang berakhir hari ini.
Baginda bertitah, urusan mentadbir kerajaan bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dengan pelbagai desakan dan permintaan segelintir pihak yang hanya berjuang untuk kepentingan peribadi.
“Saya sudah buat yang terbaik untuk negara sepanjang lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong, tetapi sedih nak tinggalkan Istana Negara jika rakyat masih berpecah belah,” titah baginda dalam rakaman video sesi bersama media di Istana Negara, hari ini.
Turut mencemar duli pada sesi itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah yang memegang tampuk kepimpinan negara bermula 31 Januari 2019 mengakhiri tempoh itu hari ini.
Peranan baginda akan diambil alih oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan bersemayam sebagai Yang Dipertuan Agong ke 17 selama lima tahun, berkuat kuasa esok.
Sepanjang tempoh pentadbiran baginda, Al- Sultan Abdullah turut berkongsi pengalaman menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri yang disifatkan satu kenangan yang sukar diterima.
Semua itu titah Paduka Baginda berpunca daripada kemelut politik yang tidak berkesudahan yang pada akhirnya merugikan rakyat dan menjejaskan kestabilan negara.
“Saya bukan mahu menidakkan mana-mana parti politik tetapi pengalaman bertukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara,” katanya.
Justeru baginda berharap, peluang pentadbiran yang dipegang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak diganggu gugat sebaliknya diberikan masa untuk membuktikan kemampuannya.
“Biarlah sekurang-kurangnya kerajaan yang ada ini memerintah mengikut tempoh ditetapkan, bukan sekadar satu atau dua tahun dan kemudian menukar dengan sewenang-wenangnya.
“Tempoh setahun bagi mana-mana Perdana Menteri belum cukup untuk membuktikan kemampuan dalam mentadbir negara, apatah lagi memulihkan kelemahan dan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Bukan senang nak bagi satu ukuran dalam masa setahun. Saya ingat mana-mana kerajaan, mana-mana Perdana Menteri kalau bagi ukuran setahun, sudah tentu masih ada kelemahan di sini dan di sana,” titah tuanku.
Baginda berkata demikian berkait Langkah Dubai yang dikatakan sebagai cubaan untuk menumbangkan kerajaan menerusi ‘Langkah Dubai’ baru-baru ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |