
‘Saya hanya ingat selepas sedar berada dalam longkang’ – rakan mangsa
DUNGUN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa tiga rakannya hanya sedar dirinya terlibat dalam kemalangan selepas tercampak di dalam longkang.
Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan berkata, dia tidak mengingati sepenuhnya kejadian yang berlaku sebelum mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura pada Rabu lalu.
“Saya hanya sedar selepas berada dalam longkang. Ketika kejadian, saya sedang menunggang motosikal bersama Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, setelah pulang dari membeli barang di bandar Dungun,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Menurut Ammar, dua lagi rakannya Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut bersama menaiki motosikal lain dalam perjalanan pulang ke kampus.
“Pada mulanya hanya saya dan Khairil merancang untuk membeli barang selepas aktiviti kokurikulum di kampus, namun Akmal dan Adib turut menyatakan hasrat untuk ikut bersama. Kami sempat bergurau sebelum pulang, dan itulah kenangan terakhir bersama mereka,” katanya lagi.
Ammar berkata, walaupun amat sedih dengan kehilangan sahabat-sahabat baiknya, dia reda dengan ketentuan takdir.
“Saya tidak sangka, keluar membeli barang bersama mereka merupakan kenangan terakhir. Saya mendoakan agar roh ketiga-tiga sahabat saya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya lagi.
Ammar juga memaklumkan keadaan kesihatannya semakin pulih walaupun masih mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan.
“Saya masih belum boleh berjalan laju kerana kaki kiri dan kanan saya berjahit. Kepala pun sakit kerana kesan jatuh. Saya berharap agar dapat pulih sepenuhnya dan kembali seperti sedia kala,” katanya lagi.
Kejadian tragis yang berlaku pada jam 7.35 malam itu meragut nyawa tiga pelajar UiTM Dungun. Mereka yang terkorban ialah Muhammad Akmal Md Tukirin dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin dari Ampang, Selangor.
Sementara itu, Muhammad Ammar Danish yang cedera di pinggang kini sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |