
Satu daripada tiga anak muda alami diskriminasi, RAKAN jadi saluran baharu rakyat bersuara
KUALA LUMPUR – Isu diskriminasi dalam kalangan anak muda di negara ini semakin membimbangkan apabila dapatan kajian ‘State of Discrimination Survey 2023’ mendedahkan satu daripada tiga anak muda Malaysia mengakui pernah berdepan diskriminasi berasaskan kaum atau agama.
Lebih memburukkan keadaan, majoriti daripada mereka tidak tahu ke mana hendak mengadu atau tidak yakin terhadap keberkesanan saluran sedia ada.
Menyedari keperluan itu, pelancaran platform Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) oleh Kementerian Perpaduan Negara baru-baru ini dilihat sebagai langkah berani dan tepat dalam memberi ruang kepada masyarakat untuk bersuara dan bertindak balas terhadap diskriminasi yang berlaku di peringkat akar umbi.
Menurut kenyataan Architects of Diversity Malaysia (AOD), RAKAN bukan sekadar menjadi saluran aduan semata-mata, malah berfungsi sebagai platform pemerkasaan komuniti dalam membina dasar perpaduan yang lebih responsif dan berpaksikan realiti rakyat.
“Separuh daripada responden kajian tidak pasti saluran aduan yang sesuai, manakala ramai merasakan mekanisme sedia ada terlalu formal dan tidak inklusif.
“RAKAN hadir sebagai penyelesaian kepada jurang ini, dengan menawarkan akses mudah, cepat dan mesra pengguna yang lebih serasi dengan keperluan masyarakat pelbagai latar belakang,” kata pertubuhan bukan kerajaan itu.
Katanya, pelancaran itu RAKAN juga selari dengan saranan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang bahawa perpaduan bukan hanya slogan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu digalas bersama, termasuk melalui sistem aduan yang lebih berkesan.
Menurut AOD lagi, pelaksanaan RAKAN bukan sahaja mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu diskriminasi, malah turut berperanan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan dasar perpaduan negara.
“Setiap suara rakyat penting. Melalui RAKAN, aduan tidak lagi terpinggir, dan rakyat tidak lagi dibiarkan bersendirian dalam menghadapi diskriminasi,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |