
Sasaran 60 peratus pengurangan sisa dorong DBKL perluas projek sifar sisa
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan pengurangan sehingga 60 peratus sisa dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2040.
Sasaran itu dinyatakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif sebagai matlamat ambisius yang direalisasikan melalui projek rintis sifar sisa di Taman Tasik Titiwangsa.

“Pendekatan secara menyeluruh ini dilaksanakan menerusi kerjasama empat pihak iaitu sektor awam, swasta, orang awam dan kerjasama yang amat penting untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar hijau, mampan dan disayangi oleh seluruh warganya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian semasa meninjau pelaksanaan Projek Rintis Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang sedang dijalankan di Taman Tasik Titiwangsa.

Projek rintis tersebut merupakan antara inisiatif terawal di bawah Pelan Tindakan Bandar Lestari yang digerakkan oleh DBKL
Inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan dua syarikat swasta, Ecocycle Dynamic Solutions Sdn. Bhd. dan Renergy Bumi Hijau Sdn. Bhd.
Menurut DBKL, inisiatif itu membuktikan potensi sebenar inovasi dalam pengurusan dan kitar semula sisa bandar.
“Sebanyak 4,100 kilogram sisa kaca telah digunakan semula untuk membina struktur papan tanda ‘TAMAN TASIK TITIWANGSA’ yang kini menampilkan rekaan bercahaya dalam gelap.
“Manakala 1,314 kilogram sisa kaca lagi digunakan untuk kerja turapan garisan parkir termasuk parkir Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus berjaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 4,800 kilogram CO₂eq,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi, semalam.
Selain itu, sebanyak 250 kilogram plastik sekali guna turut dikitar semula dan digunakan dalam pembinaan permukaan jalan sepanjang 100 meter menggunakan teknologi ‘Green Asphalt’ yang mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kaedah itu katanya turut menyumbang kepada pengurangan karbon sebanyak 990 kilogram CO₂eq.
Menurut DBKL, kesemua inisiatif itu adalah sejajar dengan tonggak keempat Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang menekankan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, komuniti dan institusi pendidikan (GICE).
“Projek ini turut menyokong nilai-nilai Malaysia MADANI, khususnya prinsip Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan dalam melestarikan bandar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








