Sari bakal disenarai warisan negara
KUALA LUMPUR – Busana tradisional masyarakat India, sari bakal disenaraikan sebagai salah satu warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Menurut Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Dr. Eyo Leng Yan, sari ketika ini belum diwartakan secara rasmi, namun telah dimasukkan dalam inventori jabatan sebagai langkah awal ke arah pengiktirafan tersebut.
“Bagi Jabatan Warisan Negara, fungsi utama kami adalah memelihara, memulihara dan melindungi warisan agar keasliannya tidak pupus.
“Sari belum diwartakan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, tetapi telah dimasukkan ke dalam inventori, menandakan kita bersedia untuk mengangkatnya sebagai warisan, malah mungkin sebagai warisan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya dalam temubual bersama portal Buletin TV3, semalam.
Beliau menjelaskan, di bawah akta itu terdapat dua peringkat pengiktirafan iaitu warisan dan warisan kebangsaan, dan sari akan dicadangkan untuk diangkat ke peringkat pertama terlebih dahulu.
“Ketika ini, kita telah melengkapkan bahan dan hasil penyelidikan berkaitan sari, termasuk rekod-rekod sejarah serta dokumentasi yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pakar,” katanya.
Menurut Dr. Eyo, berdasarkan penilaian awal, sari dilihat memenuhi beberapa daripada sembilan kriteria yang ditetapkan untuk diiktiraf sebagai warisan negara.
“Sari mempunyai hubungan rapat dengan sejarah Malaysia kerana ia melambangkan penghijrahan masyarakat India ke negara ini sejak dahulu lagi.
“Ia bukan sahaja terus menjadi pakaian utama dalam masyarakat India, malah turut dipakai oleh kaum lain termasuk Melayu, Cina serta masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, selain nilai sejarah, sari juga memiliki keunikan dari segi rekaan, keanggunan dan kekayaan seni pembuatannya yang menyumbang kepada keharmonian sosial dan kebudayaan masyarakat majmuk di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








