Sang Saka Biru diseru tingkat personaliti sebagai penguatkuasa
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyeru seluruh warga Sang Saka Biru untuk terus memperkukuhkan personaliti sebagai penguatkuasa.
Beliau berkata sedemikian dalam satu perutusan khas sempena Tahun Baharu 2025.
“Di atas limpahan rahmat dan berkat izin-Nya jua, kita diberi kesempatan untuk melangkah ke tahun baharu 2025 dengan suasana yang harmoni, aman dan sejahtera.
“Saya berharap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha meningkatkan kredibiliti sebagai penguatkuasa yang berintegriti tinggi, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi ketetapan peraturan, bersederhana dalam kehidupan dan istiqamah dalam berbuat kebaikan, bersabar dengan segala cemuhan serta yakin dengan inayah-Nya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tahun 2024 telah melabuhkan tirai dengan meninggalkan pelbagai cabaran, dugaan serta pengalaman suka dan duka buat warga PDRM.
“Keupayaan dan kecekapan pasukan telah diuji semasa mengendalikan kes-kes berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, baik dari aspek sumber manusia, kelengkapan logistik, tata kelola, teknologi dan sebagainya,” jelas beliau.
Razarudin turut menyorot pencapaian cemerlang PDRM sepanjang tahun lalu.
Antaranya adalah kejayaan Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 hasil usaha gigih PDRM dalam memastikan keselamatan negara terpelihara.
“Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan tetapi turut menyumbang kepada keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.
“Komitmen luar biasa warga Sang Saka Biru dalam menghadapi cabaran kompleks, termasuk ancaman jenayah berteknologi tinggi dan ketidaktentuan lanskap keselamatan serantau juga harus dipuji,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf penglibatan semua pihak di peringkat antarabangsa, kementerian, jabatan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO serta segenap lapisan masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keupayaan benteng keselamatan demi kesejahteraan rakyat.
“Moga jalinan kolaborasi ini dapat diperkukuhkan lagi bagi memenuhi ekspektasi Kerajaan dan masyarakat yang menuntut perkhidmatan telus serta berimpak tinggi,” katanya.
Tidak ketinggalan, beliau juga menghargai keprihatinan kerajaan terhadap warga PDRM melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan motivasi mereka.
Antaranya menaik taraf kediaman dan premis PDRM, memperkukuhkan keperluan sumber manusia dan kelengkapan logistik, memperkasakan keselamatan sempadan serta kenaikan gaji penjawat awam.
“Usaha-usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan ekosistem yang sejahtera, disokong oleh warga kerja yang berdaya cipta, saling menghormati dan ihsan demi kemampanan Sang Saka Biru,” ungkap beliau.
Bermula 1 Januari 2025, Malaysia secara rasminya telah mengambil alih teraju Kepengerusian ASEAN sekali gus bakal menyaksikan negara menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi pelbagai program bertaraf antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan warga PDRM agar sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin.
“Jangan mudah berlapang dada dengan keamanan dan kedamaian yang dikecapi kini, sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden.
“Saya serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM sentiasa mendoakan agar seluruh keluarga besar Sang Saka Biru dirahmati Allah SWT atas perjuangan bagi memartabatkan keselamatan dan keamanan negara serta beroleh ganjaran tertinggi dari Yang Maha Esa.
“Semoga negara berdaulat ini sentiasa aman, makmur dan sejahtera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








