
Saman kadar rata tamat hujung bulan ini
KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan kurang daripada 20 peratus pemandu menerima saman mengambil peluang membayar kompaun melalui inisiatif Kadar Kompaun Khas Kadar Rata yang diperkenalkan sejak 3 Januari lalu.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan, masih ramai pemilik kenderaan yang belum menyelesaikan pembayaran saman membabitkan tiga jenis kesalahan utama iaitu Saman Sistem Keselamatan Automatik (Awas), Notis Panggilan Temu Siasat (Notis 114) serta Notis JPJ (Notis 115/ P23).
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak menunggu sehingga saat akhir kerana kemungkinan besar akan berlaku kesesakan sistem, terutamanya di platform dalam talian serta di kaunter atau kiosk pembayaran,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau menjelaskan pelbagai saluran telah disediakan bagi memudahkan proses pembayaran saman, termasuk melalui aplikasi MyJPJ, kiosk serta kaunter Mobile JPJ.
“Alhamdulillah, sambutan melalui aplikasi MyJPJ amat memberangsangkan setakat ini. Ini menunjukkan kecenderungan pengguna kepada kaedah bayaran digital.
“Sehingga 5 Jun, JPJ merekodkan sebanyak 374,024 saman telah dijelaskan, melibatkan kutipan melebihi RM56 juta. Daripada jumlah tersebut, 347,326 merupakan saman Awas, diikuti 21,538 saman Notis 114 dan 5,160 bagi Notis 115.
“Bayaran istimewa ini adalah peluang terbaik untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak dengan kadar yang jauh lebih rendah. Selepas tempoh ini berakhir, kadar kompaun akan kembali kepada amaun asal iaitu RM300,” jelasnya.
Tawaran bayaran saman pada kadar rata itu dijadualkan berakhir hujung bulan ini dan tiada jaminan akan dilanjutkan.
“Ambillah peluang ini selagi ia masih tersedia,” tegas beliau lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |