Saman tertunggak tidak jejas kelayakan nikmati subsidi BUDI95 – Loke
KUALA LUMPUR – Seseorang individu yang mempunyai saman tertunggak tidak akan hilang kelayakan menikmati subsidi petrol bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Merujuk kepada laporan media berhubung dakwaan kegagalan menjelaskan saman akan menyebabkan kehilangan kelayakan menikmati subsidi BUDI95, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, kedua-dua perkara berkenaan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik.
“MOT ingin memberi penjelasan bahawa saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 adalah dua mekanisme yang berbeza serta beroperasi secara berasingan.
“Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Berdasarkan dasar semasa, Loke memaklumkan bahawa untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol BUDI95, pemohon perlu memenuhi dua syarat asas.
Beliau berkata, syarat berkenaan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, dan memiliki lesen memandu yang aktif.
“Lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen masih dalam tempoh sah atau tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun,” katanya.
Dalam pada itu, MOT menasihati orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






