BERITA SEMASA

Sama-sama doakan keselamatan 34 aktivis Sumud Flotila negara – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus berdoa demi keselamatan 34 aktivis negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar sentiasa memantau perkembangan terkini aktivis berkenaan yang kini berada di zon kuning dan berdepan risiko ancaman Israel.

“Keberanian serta ketabahan mereka amat dihargai kerana mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan saudara di Gaza,” katanya pada taklimat harian pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut mendesak agar laluan kemasukan bantuan ke Gaza tidak dihalang oleh mana-mana pihak kerana sekatan hanya akan menambah penderitaan penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.

“Kerajaan MADANI amat menghargai setiap usaha yang dilakukan demi meringankan penderitaan rakyat Gaza, dan komitmen ini akan terus diperkukuh bersama masyarakat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Difahamkan, kapal pertama sukarelawan GSF melepasi zon kuning sekitar jam 9.30 malam tadi waktu Malaysia. Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim melalui pemantauan di dashboard GSF tracker.

Seramai 34 rakyat Malaysia berada di atas beberapa kapal misi tersebut yang kini sudah memasuki hari ke-29 perjalanan.

Inisiatif Sumud Nusantara dilihat sebagai platform utama masyarakat sivil Malaysia menyalurkan bantuan ke Gaza, sekali gus memperkukuh peranan negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button