Sabah catat jualan lebih RM5 juta di Matta Fair 2025
KUALA LUMPUR – Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mencatat rekod baharu apabila berjaya merekodkan jualan tertinggi berjumlah RM5.1 juta pada penganjuran Matta Fair Kuala Lumpur 2025, baru-baru ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 14.2 peratus berbanding penyertaan pada April lalu, selain melonjak 46.8 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian tersebut hasil penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah sepanjang pameran tiga hari yang berlangsung pada 5 hingga 7 September lalu di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Delegasi utama Sabah diketuai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, merangkap Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai yang mengetuai penyertaan dengan 94 ruang pameran.
Dalam acara itu, Joniston turut melancarkan tiga pakej pelancongan baharu iaitu Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat dan Pakej Percutian Tawau.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Sabah di Matta Fair Kuala Lumpur.
Katanya, sambutan luar biasa itu membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri itu.
“Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” kata Julinus.

Julinus berkata, pakej percutian baharu itu turut menawarkan rebat tunai istimewa dan barangan edisi terhad STB, selain boleh ditempah menerusi platform dalam talian HelloSabah.com.
Baca juga : 10 destinasi pelancongan berasaskan komuniti di Sabah beri pengalaman unik untuk pelancong
Baca juga : Enam destinasi pelancongan terbaik di Sabah berdasarkan personaliti perjalanan anda
“Lembaga Pelancongan Sabah juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen kami terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI).
“Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan.
“Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, turut diumumkan penganjuran Flamewave Music Festival di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober ini yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn. Bhd.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








