RUU Keselamatan Siber 2024 diwartakan suku ketiga tahun ini
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 akan diwartakan pada suku ketiga tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pewartaan tarikh kuat kuasa rang undang-undang itu hanya boleh dibuat selepas proses penggubalan peraturan siap dan draf diluluskan Jabatan Peguam Negara.
Sehubungan itu, katanya lagi, Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (NACSA) sudah mengenal pasti dan sedang menyediakan draf empat peraturan.
“Ia merangkumi Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Penilaian Risiko dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024.
“Rang undang-undang itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi meyakinkan rakyat bahawa persekitaran siber di negara ini selamat sepenuhnya daripada sebarang bentuk serangan siber,” katanya.
Dr Zaliha berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di sidang Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanyakan bila Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 akan dikuatkuasakan sepenuhnya.
Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu (Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-15) meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 bagi meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Negara pada 3 April.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






