
Rundingan dagangan dengan AS: MITI lapor perkembangan positif
PUTRAJAYA – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyifatkan pertemuan bersama wakil kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Washington pada minggu lalu sebagai sesuatu yang ‘positif’.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan maklumat terperinci mengenai pertemuan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini
Menurut Fahmi, pertemuan itu memfokuskan kepada beberapa sektor utama, namun rundingan dua hala yang lebih mendalam perlu dilakukan.
“Tengku Zafrul memaklumkan bahawa pertemuan tersebut memberi hasil yang positif.
“Beliau turut membentangkan laporan tindakan susulan dan menyatakan beberapa sektor akan menjadi tumpuan rundingan lanjut,” kata Fahmi pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.
Tambah beliau, dalam sidang khas Parlimen pada 5 Mei depan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi kenyataan mengenai dasar dan pendirian kerajaan serta langkah yang akan diambil bakal dibentangkan.
“Sesi penggulungan pula akan dilakukan oleh pihak MITI,” jelasnya.
Semalam, MITI mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) kementerian itu, Mastura Ahmad Mustafa, sebagai Ketua Perunding Malaysia bagi rundingan tarif rasmi akan datang dengan Amerika Syarikat.
Mastura merupakan antara penjawat awam kanan paling berpengalaman dalam MITI.
Tengku Zafrul memaklumkan bahawa Amerika Syarikat juga telah menamakan seorang Penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) sebagai ketua perunding mereka.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan rundingan selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Kabinet Malaysia.
Antara tumpuan utama rundingan itu ialah pengurangan tarif, penghapusan halangan bukan tarif (terutamanya dalam sektor pertanian), serta isu lebihan dagangan Malaysia dengan AS yang kini berjumlah AS$25 bilion (RM108 bilion).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |