
Ruang udara Qatar ditutup sementara, rakyat Malaysia diingatkan kekal berwaspada
DOHA – Ruang udara Qatar ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penerbangan keluar dan masuk ke negara itu, demikian menurut makluman rasmi daripada Kementerian Luar Negeri Qatar kepada Kedutaan Besar Malaysia di Qatar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia Qatar malam tadi, penutupan ruang udara berkenaan adalah bersifat sementara dan tidak berpunca daripada sebarang ancaman langsung terhadap Qatar.
Bagaimanapun, langkah itu diambil susulan beberapa siri serangan yang dilaporkan berlaku ke atas pangkalan tentera Al Udeid, yang menempatkan aset penting ketenteraan antarabangsa.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan untuk bertenang serta mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi dan sahih.
“Mereka juga diminta meminimakan pergerakan di luar rumah dan terus berhubung dengan pihak Kedutaan bagi mendapatkan maklumat terkini.
“Pihak Kedutaan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Kerajaan Qatar dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya termasuk status pembukaan semula ruang udara,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan keluar atau masuk ke Qatar dinasihatkan menyemak jadual terkini bersama syarikat penerbangan masing-masing.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan melalui emel di mwdoha@kln.gov.my atau talian +974 4483 6463 (waktu pejabat) dan +974 3374 6733 (selepas waktu pejabat).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |